Perubahan daripada penggunaan kaedah pembelajaran secara tradisional yang melibatkan peranan guru secara menyeluruh kepada pembelajaran yang berpusatkan pelajar adalah seiring dengan kemajuan teknologi masa kini yang mementingkan seseorang individu agar bersikap proaktif, berkeupayaan menyelesaikan masalah, berfikiran kritis dan kreatif serta mampu menghasilkan produk atau inovasi. Selaras dengan keperluan tersebut, strategi Pembelajaran Berasaskan Projek (PBP) telah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) berdasarkan Teori Konstruktivisme iaitu “belajar dengan melakukan” atau “learning by doing”. Kertas konsep ini mengupas ciri-ciri PBP, manfaat, serta cabaran pelaksanaannya dikalangan pelajar dan guru. Kupasan yang dibuat di dalam kertas konsep ini adalah menggunakan data sekunder daripada sumber-sumber berwasit seperti jurnal dan buku kajian lepas.