Terjemahan merupakan satu aktiviti yang melibatkan pemindahan maklumat dari bahasa sumber ke bahasa sasaran. Pemindahan ini melibatkan pelbagai aspek termasuklah budaya. Terjemahan budaya bukanlah suatu tugas yang mudah dilakukan. Penterjemah perlu benar-benar memahami unsur budaya teks sumber sebelum diterjemahkan. Hal ini mungkin sukar bagi individu yang baharu mempelajari untuk menjadi penterjemah. Sehubungan itu, satu kajian dijalankan bagi menganalisis prosedur terjemahan unsur budaya sosial dalam Amali Terjemahan pelajar yang mengikuti kursus terjemahan. Analisis kandungan dan analisis perbandingan digunakan sebagai kaedah dalam kajian berbentuk kualitatif ini. Kategori Budaya dan Prosedur Terjemahan oleh Newmark (1988) digunakan sebagai kerangka teori. Hasil analisis menunjukkan terdapat tujuh unsur budaya sosial dalam teks sumber dan boleh dikategorikan kepada tiga subkategori iaitu (i) riadah, (ii) kerja dan (iii) kelas masyarakat. Unsur budaya subkategori riadah merupakan subkategori yang paling banyak dapatannya iaitu sebanyak empat dapatan (57.1%), diikuti oleh subkategori kelas masyarakat sebanyak dua dapatan (28.6%) dan subkategori kerja sebanyak satu dapatan (14.3%). Enam prosedur terjemahan iaitu (i) pemindahan, (ii) naturalisasi, (iii) pinjam terjemah, (iv) persamaan budaya, (v) transposisi dan (vii) kata demi kata. Dapatan juga menunjukkan terdapat kesalahan dalam terjemahan unsur budaya sosial dalam terjemahan pelajar. Dapatan kajian ini diharapkan dapat memberi keterangan tentang hasil terjemahan pelajar terutamanya terjemahan budaya.