Kesan pimpin-lengah antara pasaran niagaan kedepan dengan indeks saham telah menarik minat penyelidik kewangan untuk mengenal pasti punca kewujudan fenomena berkenaan. Pasaran niagaan kedepan memainkan peranan yang penting dalam proses penemuan harga kerana pasaran ini didapati mendahului indeks saham dari segi memberi tindak balas kepada maklumat baru. Keadaan ini dikaitkan dengan isu harga lapuk di kalangan komponen indeks saham yang berpunca daripada masalah kekerapan dagangan yang rendah. Kajian ini menyiasat pengaruh kekerapan dagangan terhadap kewujudan kesan pimpin-lengah di Malaysia. Hasil kajian mendapati kontrak niagaan kedepan indeks saham bukan sahaja mendahului sahamsaham tidak aktif, malah ia juga turut mendahului saham-saham aktif yang menjadi komponen Indeks Komposit. Penemuan ini bercanggah dengan teori yang dicadangkan kerana kesan pimpin-lengah didapati wujud di kalangan saham-saham aktif dan tidak aktif. Oleh yang demikian, kajian ini membuktikan yang isu kekerapan dagangan bukanlah penyumbang terhadap kewujudan kesan pimpin-lengah antara pasaran niagaan kedepan dengan indeks saham di Malaysia.