Tekanan emosi memberikan impak terhadap pembelajaran murid berkeperluan khas dan pentingnya untuk mempraktikkan strategi daya tindak bagi menangani tekanan tersebut. Kaedah kualitatif berbentuk kajian kes digunakan dalam kajian ini. Kajian ini bertujuan untuk meneroka strategi daya tindak murid bermasalah pembelajaran spesifik disleksia. Bagi mencapai objektif kajian, kaedah temubual digunakan untuk mendalami pengalaman peserta kajian. Sampel kajian adalah seramai 3 orang. Sampel kajian merupakan pelajar berumur tiga belas hingga lima belas tahun yang sedang menuntut di Sekolah Menengah dalam kategori Pendidikan Khas. Analisis bertema digunakan bagi menganalisis data dengan lebih terperinci. Selepas menjalankan analisis, didapati beberapa faktor penting yang dapat membantu memacu kepada daya tindak pelajar bermasalah pembelajaran disleksia seperti faktor emosi. Kajian ini memberikan implikasi kepada institusi pendidikan di samping memberikan kesedaran buat ibu bapa dan masyarakat mengenai kepentingan emosi dalam kalangan murid berkeperluan khas. Selain itu, pihak berkepentingan bertanggungjawab dalam merancang beberapa pelan tindakan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.