“…Sehubungan dengan itu, guru-guru sejarah perlulah mengambil iniasitif untuk menggalakkan murid-murid untuk membuat analisis, tafsiran secara amalan terarah kendiri dalam proses pengkajian sejarah, di samping membimbing mereka untuk menentukan keperluan pembelajarannya, membentuk matlamat pembelajarannya dan sumber untuk belajar, memilih dan melaksanakan strategi pembelajaran yang sesuai dan seterusnya menilai hasil pembelajaran mereka masing-masing (Knowles, 1975;Candy, 1991;Guglielmino & Guglielmino, 1991). Hal ini demikian kerana murid-murid yang dapat belajar secara arahan kendiri sentiasa berasa cekal, mempunyai sifat ingin tahu, peka, bertanggungjawab dan berdikari atas proses pembelajaran mereka, di samping mereka juga dapat membina persekitaran pembelajaran melalui proses pengalaman, penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan persekitaran pembelajaran dengan maklumat-maklumat yang telah dipelajari (Ors, 2018;Tillema, 2000;Hewitt-Taylor, 2002).Sungguhpun begitu, sejauh manakah keberkesanan penjanaan kemahiran terarah kendiri melalui proses analisis sumber-sumber teks sejarah masih belum diketahui lagi walaupun kajian-kajian lepas telah membuktikan bahawa proses penerokaan sumber-sumber sejarah dapat meningkatkan kemahiran, minat, penglibatan dan literasi sejarah (Reisman, 2012;Nokes, 2014;Nofiyah Mardiani, Umasih & Murni Winasih, 2019;Howard, 2019;Willey, Griffin, Steffens & Britt, 2019;Hill& Fitzpatrick, 2019). Kelompangan ini telah menimbulkan satu keperluan kepada pengkaji dalam kajian ini untuk mengenal pasti tahap kemahiran terarah kendiri dan mengenal pasti sama ada terdapat perbezaan min kemahiran terarah kendiri antara ujian pra dan ujian pasca bagi murid-murid yang mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran sejarah melalui aktiviti analisis sumber teks sejarah dalam kalangan murid.…”